Blogger Widgets

Thursday, August 13, 2015

Kopi Sejuk Ayah


Sudah lama Acik memujuk aku  pulang. Setiap kali perbualan, dia sering berceritakan mengenai kedegilan ayah. Semakin hari ayah semakin degil. Dia sudah berputus asa dengan perangai ayah. Degil ayah sama macam aku kata Acik. Fikiran aku melayang mengingati wajah ayah, bau kopi ayah setiap pagi. Ya, itulah bau ayah yang segar dalam ingatan aku sejak kecil. Ayah, kali ini aku pulang ayah. Aku menghelakan nafas perlahan.
Saat tayar pesawat mencecahkan bumi, aku memanjatkan kesyukuran kepada Ilahi, aku kembali ke tanah tumpah darah ini. Ketika menuruni tangga pesawat, aku memandang bangunan terminal dan sekitar lapangan. Bangunan baru dan lebih besar, banyak juga pesawat yang menunggu giliran. Nyaman udara pagi utara ini masih sama, masih tidak berubah. Aku memperbetulkan beg galasku dan melangkah lebih pantas menuju ke balai ketibaan. Bimbang kalau-kalau ayah  yang menunggu. Sejak muda ayah tidak gemar menunggu, gelisah tidak senang duduk. Kerana itulah ayah tidak pernah hadir mesyuarat PIBG kami adik beradik.
Papan tanda balai ketibaan telah aku lewati. Dari jauh aku lihat susuk tubuh yang amat aku kenali sedang menanti. Ayah, aku amati diri ayah dari jauh. Perasaan sedih, sayu, rindu semuanya bercampur aduk. Sebak yang  terasa aku tahan jangan sampai mengalirkan air mata. Ayah kelihatan bongkok sedikit, tubuh ayah seperti telah kecut, kulitnya kusam dan banyak kedutan, sorotan mata ayah tidak lagi seperti dulu. Aku menghelakan nafas melepaskan berat rasa di dalam hati ini. Aku senyum kepada ayah dan seperti kebiasaannya ayah merenung aku dalam tanpa senyuman. Perasaan yang sama seperti ayah menyambut aku pulang setelah 2 tahun belajar di sekolah berasrama di negeri pantai timur. Aku berhenti di hadapan ayah, terus aku cium tangan ayah. Kedut tangan ayah makin ketara, tapak tangan ayah tidak sekasar dulu, bau rokok pada tangan ayah menerjah hidungku. Bau yang sinonim dengan ayah setelah pulang kerja. Terkenang sejak kecil aku digula-gulakan ayah untuk berhenti merokok. Setiap tahun ayah berjanji akan berhenti merokok sekiranya aku dapat tempat pertama di dalam kelas. Sampai sekarang aku tidak pasti janji ayah itu kerana dia mahu aku lebih berusaha ataupon dia tahu aku tidak sepandai itu. Aku peluk tubuh ayah, aku cium pipi ayah melepaskan rindu.
“ Ayah sihat? Lama ayah tunggu Along?” aku tersenyum memandang ayah. Mata ayah, wajah ayah yang sangat dirindui.
“ Sihat. Baru saja” jawab ayah sambil menghulurkan tangan meminta beg galas ku.
Aku tahu ayah tipu. Bau rokok yang kuat pada badan ayah itu paling tidak sudah setengah jam dia menungggu.
“ Tak pe, ringan je ayah. Along bawa sendiri. Mak sihat? Eh! Ayah beli kereta baru” sambil kaki ini melangkah mengekori ayah menuju ke arah kereta proton saga ayah.
“ Mak sihat saja, macam  biasa. Ayah beli kereta terpakai ni pakai duit lebih yang kamu kirim. Ayah sudah tidak kuat memandu manual, sakit kaki. Sekejap,  ayah bukakan pintu untuk kamu. Kereta second macam ni lah, rosak itu dan ini,” ayah menarik picu membuka pintu kereta dari dalam.
Aku masuk ke dalam  kereta ayah dan menurunkan cermin kereta. Bau rumput, bau padi, bau tanah bendang, bau kampung amat menenangkan dan membahagia. Banyak yang telah berubah. Sekarang sudah ada lebuh raya membelah bendang. Kuranglah ayah menyumpah ketika memandu kerana berhenti di lampu merah. Kereta ayah tetap laju menyusuri lebuhraya, darah muda ayah masih ada. Aku tersenyum.
Ayah memperlahankan kereta apabila menghampiri pokok sena tepi simpang memasuki lorong rumah. Bertaburan bunga sena di atas tanah tak ubah seperti sakura. Perasaanya sama cuma warna yang berbeza. Kereta ayah memasuki perkarangan rumah. Pokok bunga harum malam menjadi penyambut tetamu sejak dulu lagi. Kalau di waktu malam ramai yang akan fikir yang bukan-bukan dek kerana keharuman bunga ini.
“ Mana mak kamu ni? Kat belakang rumah agaknya, pagi-pagi  begini dia selalu siram anak cili,” ujar ayah sambil membuka pintu rumah yang berkunci.
“ Rumah memang sentiasa kena berkunci. Sekarang ni banyak penagih. Pantang ada peluang semua nak dicuri .”Aku tersenyum kelat. Ibu masih juga seperti dulu setiap kali aku pulang. Dua tahun, lima tahun, tujuh tahun, hampir pasti tiada yang berubah.
Aku melangkah memasuki rumah, suasana di dalam  rumah gelap kurang pencahayaan kerana dikelilingi pokok-pokok. Tanah ayah tidaklah seluas mana tetapi kerana ibu yang rajin berbudi pada tanah, segala tumbuhan, sayuran, bungaan semua ada di sekeliling rumah.  Kalau diikutkan rajin ibu, pokok durian, petai dan jering pun ingin ditanam sekeliling rumah. Aku meletakkan bag galas di atas sofa dan membuka tingkap- tingkap rumah. Walaupon sinar mentari tidak dapat memasuki rumah tetapi biarlah  udara segar yang memenuhi setiap ruang dan penjuru.
“ Sekarang ni musim panas. Tengahhari nanti berbahang satu rumah. Elok kamu masuk bilik depan, ada penghawa dingin,” kata ayah. Aku tersenyum. Kaki ini melangkah memasuki bilik rasmi anak- anak bujang seperti sebelum ini.
Aku memasuki ruang dapur, ibu sedang membersihkan tangannya di sinki. Barangkali membersihkan tanah-tanah kebun yang melekat di jari.
“Mak,” aku menghulurkan tangan ku menyalami ibu ku. Kucium tangan ibu yang melahirkan aku, ibu yang membesarkan aku. Sebak di dada aku tahan dengan kuatnya. Aku memeluk ibu erat, mencium pipi ibu. Ibu juga sudah susut. Kulit ibu tidak setegang dulu, bintik bintik jeragat jelas kelihatan pada wajah ibu.
“ Mak sarapan apa hari ini?” aku bertanyakan ibu. Jujur aku merindui masakan ibu. Gulai ikan talang masin dengan buah nenas boleh buat aku makan bertambah.
“ Cucur bawang. Ada lagi di bawah saji. Sekarang bukan macam dulu, masak banyak-banyak pun bukan ada siapa nak makan,” sambung ibuku lagi.
Aku tersenyum kelat. Mohon terasa, mungkin itu yang ibu cuba katakan kepada aku. Ibu, kalau aku tidak mahu  pulang, kalau adik-adik tidak mahu pulang kerana ibu lah jua. Aku tidak pasti sama ada ibu tidak memahami perasaan kami atau ibu tidak mahu ambil tahu perasaan kami.  Hanya satu yang aku pinta, mohon ibu tidak memanggil aku anak derhaka kerana aku telah sehabis daya cuma membahagiakan  ibu. Aku utamakan keperluan ibu sebelum  aku. Namun jika aku masih tidak mampu menjadi anak terbaik ibu cukuplah aku tidak menjadi anak menderhakai ibu. Maafkan aku ibu kerana begitu banyak yang tidak aku  luahkan  kepada ibu. Bagi ibu, ibu tetap ibu dan aku tetap anak. Apa lagi yang boleh aku katakan. Selama ini ingin aku meraung kepada ibu, dalam hidup seorang anak, ibu adalah segala-galanya. Dia tiada ibu lain selain ibu di dunia ini. Lain lah ibu, masih mampu memilih di antara anak-anak yang ada. Semua perasaan  ini, jeritan hati ini aku benamkan ke dasar hati ini. Cukuplah hanya aku yang tahu.
 Aku mengambil pinggan dan duduk di meja makan, ingin menjamah cucur bawang ibu. Rindu benar air tangan ibu, kelazatan masakan ibu.
“ Mak tak buat air kopi untuk ayah?” tanyaku setelah aku perasan tiada keharuman kopi pagi abah.
“ Ayah kamu sekarang tidak minum kopi panas lagi .  Bila dah tua macam kami ni semuanya sensitif, tidak boleh terlalu panas atau terlalu sejuk. Gigi pun banyak yang tiada, tinggal gusi sahaja.  Kalau dia nak minum pagi ni, dari semalam dia buat sendiri dan simpan dalam peti sejuk. Sekarang ayah kamu buat kopi sendiri. Setakat 2 kilo gula ayah kamu habiskan seminggu sahaja habuan buat kopi.  Mak malas nak berleter.  Gula dalam darah tu tak tahulah berapa tinggi.  Letih mulut mak menyuruh dia berjumpa doktor. Rasa macam suruh budak-budak pun ada.  Banyak menjawab tapi bergeraknya tidak lah juga. Lubang pada tumit ayah kamu tu semakin hari semakin teruk,” panjang sekali leteran ibu aku. Itulah kedegilan ayah. Doktor, hospital, ubat semua bukan perkara yang dia suka.
Aku hanya tersenyum memandang ibu. Pasti ibu penat melayan karenah ayah.
“ Mak nak pergi rumah Ngah Milah sekejap. Esok anak dia nak kahwin, hari ini kena pergi bantu gotong royong mengupas bawang. Kalau kamu nak minum, teh ada dalam balang tu.  Acik awal-awal sudah belikan teh hijau untuk kamu,” kata ibu sambil membalut pisau dengan surat khabar.
 “ Esok Jumaat, selalunya Angah sekeluarga balik. Anak dah masuk dua orang. Yang nombor 2 tu kulit dia manja sikit. Bilik nak kena ada aircond baru nak lena tidurnya,” sambungan kata-kata ibu benar-benar menikam hati. Aku faham walaupon ibu tidak menyatakan kerana ibu dari dulu memang begitu. Aku ingin meraung kepada ibu. Ibu!!! Aku tidak pulang bukan 5 hari ibu, sudah 5 tahun ibu. Aku tunduk melihat meja makan, tekak ini perit sekali. Tidak kasihankah ibu melihat aku, tidakkah ibu melihat kesedihan aku. Aku redha berkorban demi semua orang, demi ibu, angah, adik-adik. Terlalu banyak ibu minta aku berikan tapi tidakkah ibu melihat aku juga mememerlukan sesuatu. 
“ Mak sampaikan salam Along kepada semua,” balas aku sambil memandang cucur bawang ibu, kosong. Entah berapa kali aku kunyah tidak aku sedari kerana hendak menelan terasa sukar sekali.
“ Ayah tengok kamu ni dah termenung ni kenapa? Rindu orang sana kah?” aku terkejut dengan pertanyaan ayah. Bila ibu pergi dan bila ayah di sisi tidak aku sedari.
“ Mana ada termenung ayah. Orang mana nak rindu. Belum ada yang sudi lah ayah,” aku membalas ayah dengan senyuman.
“ Ayah berharap sangat kamu sudah ada pengganti. Ayah tahu hati kamu tidak menyimpan dendam tetapi usahlah dikenang,” kata ayah. Mungkin ayah bimbang rajuk aku tiada kesudahan.
“Mak cerita ayah tak mahu pergi ke hospital ni kenapa ayah?” tanya aku perlahan. Cepat-cepat aku menukar topik perbualan.
“ Kamu pun nak paksa ayah macam mak kamu juga?” tanya ayah kembali. Aku kira ayah tidak gembira dengan persoalan ku ini.
“ Tidaklah Along nak memaksa ayah. Kalau ayah sendiri tak nak pergi takkan Along nak heret pula. Along ni tanya, kenapa?. Ayah, kita kan sebelum lahir semua qada’ dan qadar kita dah tertulis di Lauhul Mahfuz kan. Semua telah dibacakan sebelum roh kita dihembus ke dalam janin tu betulkan. Dicatatkan rezeki kita, jodoh kita, mati kita dan kita setuju untuk dilahirkan dengan perjalanan atas segala pinjaman yang telah diaturkan oleh Nya,” aku memandang ayah sambil tersenyum.
“ Jadi, Along redha apa saja perjanjian ayah dengan Allah. Kalau Allah kata telah sampai masanya untuk kita pulangkan kaki ayah dulu, maka kita pulangkan. Kalau Allah minta kita pulangkan separuh badan ayah, tetap kita pulangkan. Kalau Allah mahukan ayah, Along tetap redha. Cuma satu ja ayah, Along sedih kalau semua ni terjadi sebab ayah tidak mahu pulangkan nikmat makan ayah. Dah sampai masa ayah pulangkan nikmat manis itu tapi ayah tidak mahu,” aku menghelakan nafas dan memandang wajah ayah.
“ Ayah tidak mahu melihat Adik mendapat ijazah? Ayah tidak mahu melihat Atih bergelar doktor hujung tahun ini atau ayah tidak mahu menjadi wali pernikahan Along satu hari nanti?” tanya aku kepada ayah. Sebak, amat sebak apabila melihat mata ayah berkaca.
Ayah tidak berkata apa-apa , aku juga terdiam seketika. Mungkin ayah memikirkan kata-kata ku tadi. Aku menanti andai ayah cuba berkata sesuatu kepada ku. Seketika ayah mendiamkan diri, aku dapat melihat senyuman terukir pada wajah ayah, mesra. Aku mendengar segala apa yang ayah cuba katakan kepadaku, menjelaskan kepada anaknya ini.
“ Along, benar semua takdir kita telah tertulis dan telah dipersetujui dan bukan semata-mata bila kita diberi dan bila ianya diambil kembali. Segala pemberian dan  ujian, Allah beri kita pilihan. Bagaimana kita menerima dan penguruskan akan ditanya setelah kita kembali kepadaNya. Redha itu setelah kita habis segala usaha.”  Aku terus mendengar apa yang ayah cuba katakan kepada aku.
“ Kita tidak boleh menggunakan perkatan redha sedangkan kita sebenarnya mengelak atau melarikan diri daripada ujian Allah. Qada’ dan qadar kita bukan mengenai kita sahaja, semua kehidupan di atas dunia ini berkaitan antara satu sama lain seperti benang yang berselirat. Pilihan kita yang mana akan  menambahbaik qada’ dan qadar ciptaannya yang lain ataupun sebaliknya”
Kata-kata ayah benar buat aku terfikir, adakah aku yang terlalu mementingkan diri aku sendiri.  Seolah-oleh hanya aku yang diuji dan hanya aku mengharungi semua ini.
“ Cuba Along fikir, sebenarnya emaklah yang paling kasihan. Qada’ dan qadar emak telah tertulis, dia akan mengandungkan kamu dengan penuh kepayahan, dengan penuh kesakitan, menanti saat bersalinkan kamu, dengan perasan takut pada masa yang sama teruja. Buat kali pertama dia menyerahkan nyawanya di tangan manusia lain untuk memberikan  nafas pertama kepada kamu. Dia bertarung nyawa demi kamu, darah yang tumpah, kesakitan yang menyamai mati itu semuanya dilalui demi kamu. Bertapa sebenarnya dia amat menyayangi kamu. Cuma Allah beri ujian kepadanya, dia tidak dapat menyanyangi kesemua anak nya seperti yang dia mahu. Allah jadikan hatinya berbeza-beza apa bila melihat kamu semua.”
Pada saat ini air mataku yang mengalir laju tidak dapat ditahan lagi.  Mata ini terlalu pedih. Aku menangis teresak-esak. Sudah lama aku tidak menangis begini.
“ Dan kamu, apa salahnya kalau mak kamu tidak melihat kamu seperti anaknya yang lain. Setelah apa yang  dia lalui untuk kamu. Sebesar Bukit Tursina pun kamu tidak mampu membalas ihsan dia melahirkan kamu. Sebenarnya kamu berdua diuji perkara yang sama. Ayah tahu, kamu fikir kamu redha menjauh begini lebih baik untuk semua. Tapi percayalah, hati kamu di akhirat nanti akan  menuntut agar Allah merentap kaki emak kamu dari syurga kerana tidak berlaku adil kepada kamu. Along fikir Along akan masuk syurga dengan cara itu?”.
Aku meraung sekuat hati. Ya Allah! Apakah yang telah aku lakukan selama 5 tahun ini.  Semuanya sia-sia sahaja. Seharusnya aku berusaha membaiki hubungan ini, sekalipun gagal sepatutnya aku memahami ibuku juga diuji. Kalau ibu tidak putus asa pada saat hendak melahirkan aku ke dunia, kenapa pula aku perlu putus asa. Aku tidak mahu menjadi penyebab ibu ke neraka. Duhai ibu ampunkan aku. Duhai ayah ampunkan anakmu ini. Air mata ini mencurah-curah tanpa henti. Aku mencapai tangan ayah, mencium tangan ayah. Hari ini tembok hati ini telah runtuh. Segala kedinginan kolam hati telah melimpah keluar bersama-sama air mata ini. Ibu, aku ingin memeluk ibu sekuat hati ini. Seandainya ibu menolak aku biarpun seribu kali, akan aku peluk ibu lebih kuat lagi. Aku bahagia sekiranya Allah menjemput aku sebelum mu ibu, agar ibu dapat ampuni segala dosa-dosaku biarpun sesudah matiku.